Wednesday, January 25, 2012

SKIM GAJI SBPA TERBAIK DISIAPKAN DALAM TEMPOH 3 BULAN.


KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.
"Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.
"Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.
Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.
"Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut," katanya.
Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.
"Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut," katanya.

Thursday, January 12, 2012

PERDANA MENTERI: SBPA DISEMAK SEMULA.

PM: Skim Saraan Baru disemak semula
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.
    
Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
    
"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
    
Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.
    
Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
    
Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
    
"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.
    
Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.
    
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.
    
Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
    
Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.