Tuesday, August 23, 2011

10 Ramadhan Terakhir


MARI HIDUPKAN 10 MALAM RAMADHAN TERAKHIR


Marilah kita hidupkan malam-malam sepuluh terakhir dengan amalan yang baik seperti bersedekah, bertarawikh, mendengar tazkirah/ceramah/kuliah ,membaca al-quran, berzikir, bersolat tahajuj dan berdoa bagi mendapatkan Qadr yang kita maklum mempunyai fadilat yang amat banyak kerana Allah SWT menjadikan malam itu lebih baik dari 1,000 bulan. Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda:

Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

Dosa itu merangkumi sama ada dosa kecil ataupun dosa besar. Tetapi pendapat yang terkenal mengenai hadith ini menunjukkan kepada dosa kecil sahaja yang akan diampunkan. Dosa besar tidak akan diampunkan kecuali dengan taubat nasuha serta memenuhi syaratnya iaitu menyesal di atas perbuatan itu, berazam tidak tidak akan mengulangi untuk melakukan dosa dan memulangkan hak sesiapa yang diambil.

Imam Nawawi berkata: Telah maklum bahawa pengampunan dosa hanyalah untuk dosa-dosa kecil sahaja.

Qiyamullail

Menghidupkan malam Qadr boleh dilakukan dengan mendirikan solat terawikh, membaca Al-Quran, bertahajjud, berzikir dan berdoa.

Solat adalah merupakan bekal. Bila dilakukan di keheningan malam, maka ia semakin memperkaya bekal. Bangun pada waktu malam merupakan mujahadah untuk memperkuat tekad dan kehendak, mengalahkan syaithan, dan melatih jiwa untuk tunduk kepada Allah. Zikir kepada Allah dan membaca tasbih pada waktu malam merupakan santapan ruhani dan bekal bagi ruh serta hati.

Setiap kita pernah melakukan dosa dan tidak sempurna dalam melakukan kewajipan. Kerananya sangat tepat bila kita mengetuk pintu Allah pada waktu sahur untuk meminta keampunan dan rahmatnya. Sebab waktu itu adalah merupakan saat terkabulnya doa. Doa pada waktu malam yang paling menyenangkan dan paling afdal; di tengah malam yang hening seorang hamba merendahkan diri untuk meminta kepada Tuhannya, agar memperkenan permintaannya.

Abu Umamah ra. telah berkata bahawa seseorang bertanya telah bertanya; "Wahai Rasulullah, do'a apakah yang paling didengar oleh Allah? Rasulullah menjawab: Doa di malam yang terakhir dan di setiap solat wajib." [HR Muslim]

Doa pada waktu sujud itu amat penting, kerana waktu sujud adalah detik seseorang dekat dengan Tuhannya. Oleh itu, sangat tepat bila seorang Muslim bersungguh-sungguh berdoa saat itu. Dari Abu Hurairah ra., bahawasanya Ar-Rasul saw. bersabda: Sedekat-dekat hamba tuhan pada tuhannya adalah saat ia bersujud, kerana itu perbanyakanlah berdo'a (waktu sujud.) [HR Muslim, Abu Dawud dan An-Nasa'i]

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Ar-Rasul saw. bersabda: Ketika malam sudah sampai sepertiganya yang terakhir, Allah turun ke langit dunia lalu berkata: Siapa yang berdoa kepadaku akan Aku perkenankan, dan siapa yang memohon ampun-Ku, akan Aku ampuni. [HR Bukhari dan Muslim]

Apakah patut kita menunda-nunda dan bermalas-malasan setelah janji yang menggiurkan seperti itu? Andai kata diumumkan kepada manusia: sesiapa yang datang pada malam tertentu, akan mendapat harta, daging segar, atau kekayaan dunia lainnya, tentu mereka akan segera datang dan berebut-rebut.

Rumah yang selalu dihidupkan dengan qiyamullail adalah rumah yang selalu dikunjungi malaikat, diliputi rahmat, dan dipenuhi kebahagiaan yang hakiki.

Hal yang dapat membantu kita untuk melakukan qiyamullail ialah:

* Keikhlasan niat,
* Memperkuat tekad,
* Memperbaharui taubat,
* Menghindari maksiat pada siang harinya,
* Segera tidur,
* Melakukan tidur siang hari, dan
* Memohon bantuan dari Allah SWT.

Malam itu tidak ditetapkan dan ditentukan masanya, bahkan cuma diberitahu secara umum pada sepuluh malam yang terakhir yang terdiri dari malam-malam ganjil bulan Ramadan.

Ubadah bin al-Samit berkata bahawa pada suatu malam ar-Rasul saw. keluar untuk memberitahu kami mengenai malam Qadr. Tiba-tiba dua orang Islam sedang bertelagah. Lalu baginda bersabda, maksudnya:

Saya keluar untuk memberitahu kamu mengenai qiyamullail. Tiba-tiba sipolan dan sipolan telah bertelagah, lalu diangkat malam itu. Boleh jadi ianya lebih baik bagi kamu. Oleh itu carilah ia pada malam ke sembilan, ketujuh ataupun kelima.

Sebenarnya lailatul Qadr bukanlah diangkat disebabkan pertelagahan itu, tetapi yang diangkat itu ialah mengetahui dengan tepat, bila berlakunya malam Qadr. Ini dibuktikan melalui sabda baginda: Carilah ia.

Diikuti selepas itu dengan suatu peringatan bahawa pengangkatan ketentuan malam berkenaan itu adalah lebih baik melalui sabdanya: "Boleh jadi ianya lebih baik bagi kamu."

Ungkapan ini menjelaskan bahawa tidak memberi ketetapan malam tersebut adalah galakan untuk menghidupkan seluruh malam pada bulan itu ataupun sepuluh malam yang terakhir.

Malam... tanda-tanda dan waktunya

Allah swt. menetapkan bahawa waktu sebenar berlakunya malam Qadr tidak diberitahu secara jelas supaya manusia tidak bersikap malas. Sebaliknya Allah swt. menyembunyikan waktu terjadinya malam berkenaan supaya orang-orang Islam terus menghidupkan sebanyak masa yang mungkin sama ada pada waktu siang ataupun malam agar berterusan melakukan ibadat.

Hal yang demikian juga berlaku di dalam banyak perkara. Allah SWT menyembunyikan saat kematian dan waktu sampainya ajal supaya takut pada Allah berterusan dan seorang Muslim juga mentaati Tuhannya tanpa henti.

Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.

Malam Qadr mempunyai banyak tanda dan alamat. Di antara tanda-tandanya ialah matahari terbit dengan sifat yang ia tidak mempunyai sinaran yang terik. Malamnya nyaman, tidak panas dan tidak pula sejuk, waktu pagi matahari terbit dalam warna kemerah-merahan.

Perkara utama yang sepatunya diingati ialah bahawa Malam Qadr adalah suatu malam yang penuh kelebihan dan kemuliaan. Setiap daripada kita perlu mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat dan jangan sekali-kali menahan dirinya daripada menadah tangan untuk berdo'a. Dengan menyebut:
اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني

"Maksudnya: Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku."

Imam Al-Sawi menyebut dalam kitab tafsirnya: Sebaik-baik doa yang dipinta pada malam itu ialah keampunan dan kesihatan.

Akhir kata, sama-samalah kita memohon kepada Allah agar memberi manfaat kepada kita dengan nilai-nilai kebaikan Ramadan serta bekal yang ada di dalamnya. Semoga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita.

[Daripada tulisan Abu Salman Said]

Wednesday, August 17, 2011

MENYEMAI SIKAP MENABUNG DENGAN TABUNG HAJI






UPSR 2011


7 Tips Persediaan Menghadapi Peperiksaan

wednesday, august 17, 2011

Mulai 13 hingga 15 September 2011 akan bermula peperiksaan UPSR bagi tahun ini.  Kemudiaan diikuti dengan PMR, SPM dan STPM.  Kemungkinan juga UPSR dan PMR tahun ini adalah tahun terakhir dilaksanakan jika kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Ketakutan, kegusaran dan tekanan menghadapi peperiksaan adalah situasi yang normal bagi calon atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan walaupun mereka telah membuat persediaan yang cukup. Pastinya telah banyak petua dan panduan yang telah diberi oleh para guru,ibubapa atau kaunselor. Semuanya kerana kita mahu semua calon yang akan menghadapi peperiksaan  mempunyai persediaan mental (ilmu),fizikal dan spritual serta mampu menjawab soal dengan tepat berkesan di mana akhirnya meraih kejayaan yang cemerlang. 

Sebagai peneguhan dan pengukuhan terhadap teknik dan petua sedia ada berikut saya perturunkan tujuh tips yang boleh dimanafaatkan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

1. Semak jadual 

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir. Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Wednesday, August 10, 2011

BONUS KAKITANGAN AWAM 2011


KUALA LUMPUR 8 Ogos 2011 – Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

– Bernama



PROGRAM MOTIVASI

KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN DAN PECUTAN TERAKHIR UPSR 2011


















Wednesday, August 03, 2011

CERAMAH MOTIVASI KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN

KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN
Assalamualaikum…!
Adakah...
  • Anda  risau tentang masa depan anak-anak?
  • Anak anda malas belajar?
  • Rungsing dan pening kepala memikirkan kelakuan mereka?
  • Anak anda langsung tidak mendengar nasihat?
  • Anak anda pelajar yang bijak dalam akademik tetapi kurang pengetahuan dan kesedaran agama?
  • Anak anda lemah dalam akademik dan juga kurang kesedaran agama?
  • Anak anda terlibat dengan gejala sosial?.

Ataupun saudara sendiri sudah berputus asa dengan kelakuan buruk anak-anak. Namun, SK Gunong yakin anda masih berharap untuk mengubah kehidupan anak anda sendiri. Ibu bapa mana yang tidak inginkan anak mereka sentiasa berjaya dalam hidup.

Jika saudara hampir putus asa dan masih berharap untuk mengubah kehidupan anak-anak berilah peluang kepada kami SK Gunong pula untuk cuba membantu. InsyaALLAH dengan pengalaman dan kemahiran yang ada, kami akan berusaha untuk mengubah dan memberi kesedaran serba-sedikit kepada anak saudara.




Oleh yang demikian, jangan saudara lupa untuk hadir ke CERAMAH MOTIVASI KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN pada 8 Ogos, 2011 Hari Isnin, Jam 8.30 pagi bertempat di Makmal ICT SK Gunong.