Sunday, July 17, 2011

15 SYAABAN

Rejab sudah berlalu...

Syaaban pula berjalan laju...

Begitu pantas masa berlalu...

Sedar tak sedar kita sudah meniti 15 Syaaban...

15 Syaaban atau lebih dikenali dengan lafaz arabi iaitu Nisfu syaaban yang membawa erti separuh, setengah atau sebahagian Syaaban.


Apabila datangnya bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan seringkali kita dihidangkan dengan pelbagai hadis berkenaan dengan bulan tersebut. Antara Hadis yang sering berkumandang di mata dan telinga kita ialah:


Maksud hadis:

"Bulan Rejab adalah bulan Allah, dan Allah telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti kelebihanku ke atas segala makhluk-Nya, dan Syaaban adalah bulanku dan Allah telah melebihkan darjat-Nya atas segala bulan seperti kelebihanku atas nabi-nabi, dan Ramadhan pula adalah bulan umatku dan Allah telah melebihkannya atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala umat."

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Saqti. Menurut Ibn Hajar, al-Saqti salah seorang perawi hadis yang terkenal sebagai pemalsu hadis dan pereka sanad. Haditn ini menurut Ibn Hajar dalam Tabyiin al-'ajab adalah mawdhu' atau palsu.

Manakala hadis yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.” juga dihukumkan palsu. Penerangan mengenai status hadis ini boleh dilihat di sini.

Manakala hadis sahih mengenai nisfu Syaaban antaranya ialah:

Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Dari hadis ini, kita dapat mengambil faham darinya bahawa untuk mendapatkan keampunan dari Allah pada malam Nisfu Syaaban ialah dengan menjauhkan diri daripada tergelincir ke lembah syirik, serta mengelakkan diri daripada sifat benci membenci, musuh bermusuhan dan berpecah belah. Semoga kita semua berpeluang mendapat keampunan dari-Nya pada malam tersebut, insyaAllah.

Ibadat Pada Malam Nisfu Syaaban

Seperti biasa kebanyakan umat Islam berpusu-pusu beribadat pada 15 Syaaban. Bermacam-macam ibadat dilakukan seperti mengerjakan solat sunat nisfu Syaaban, solat sunat raghaib dan bermacam solat sunat lain yang tidak ada asas dalam Islam.

Manakala selepas maghrib pula mereka membaca surah Yaasin beramai-ramai di masjid atau surau. Malah mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi al-Quran dan Sunnah. Doa tersebut juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Respon Ahli Agama

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:

"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"

Menurut Dr. Asri Zainul Abidin, kita janganlah terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Ada juga di kalangan umat Islam yang berpuasa sunat nisfu Syaaban. Tidak salah kita mengerjakan puasa pada 15 Syaaban. Tetapi jangan pula kita mengkhususkan puasa tersebut sebagai puasa sunat nisfu Syaaban. Perkara ini masih dalam perbincangan para ulama. Kita sememangnya disunatkan berpuasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam. Rasulullah (S.A.W) juga banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Bahkan, bulan kedua terbanyak baginda berpuasa selepas Ramadhan ialah pada bulan Syaaban.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Aisyah r.a menyatakan bahawa:

"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Saya memetik pendapat dari Ustaz Shauqi:

"...adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.

Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya.

Pada pandangan saya, kita perlu mengambil manfaat dengan kehadiran muslimin dan muslimat yang ramai ke masjid atau surau pada malam nisfu Syaaban ini. Mereka perlu dicerahkan minda mereka dengan membetulkan salah faham mereka selama ini tentang nisfu Syaaban. Mereka bukannya

Akhirnya, sekali lagi saya berseru kepada diri sendiri serta sahabat semua untuk kembali menghayati maksud hadis dibawah agar tidak terkecuali mendapat tempat di sisi Allah (S.W.T):

Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Rujukan: 
al-Qaradhawi

Ustaz Shauqi
Dr.Maza


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

No comments: