Wednesday, November 30, 2011

OPSYEN SSBPA

 1. Tempoh Opsyen SBPA dan melanjutkan umur persaraan adalah pada 16 Disember 2011 hingga 30 Disember  2011. Guru-Guru diminta hubungi sekolah untuk memperolehi maklumat mengenai Borang Opsyen.

2. Saudara/ Saudari boleh tandatangan Borang Opsyen SBPA dan melanjutkan umur persaraan secara berasingan kerana Opsyen SBPA dan melanjutkan umur persaraan ke 60 tahun merupakan dua perkara yang berbeza.


Sumber Maklumat : NUTP / JPA. 

Monday, November 28, 2011

MAAL HIJRAH



Kalau di sini cuaca mula berubah, bukan setakat hujan, tapi sejuk mencengkam. Allah menciptakan perubahan buat kita berfikir dan menilai. Andai cuaca berubah dengan setiap kesan yang dibawanya, bagaimana kita manusia?


Tanggal 1 Muharram 1433 H, tarikh penghijrahan itu menjadi satu titik ukur buat umat Islam. Ibrah di sebalik peritiwa hijrah itu wajar diteladani, bukan ekadar diketahui sahja. Saya terfikir, setakat mana peristiwa hijrah ini dekat di hati? Adakah hanya singgah tanpa sebarang kesan?

Ramai orang saya yakin memasang azam setiap kali tiba tahun baru masihi. Namun, bagaimana dengan azam tahun baru hijrah? Adakah sama azamnya atau memperbaharui azam lama? Setiap tahun tarikh itu tiba, kita sebagai hamba masih diberi kesempatan untuk melaluinya. Setiap tahun bererti bertambah umur kita, bertambah kematangan kita dan harapnya bertambah amalan kita. Apa yang penting juga untuk kekal istiqamah dalam kebaikan, insyaAllah.

Sekian dulu dari saya beserta segala persoalan yang sanya nyatakan. Moga menjadi pembuka minda buat kita semua. Hanya sebagai ingatan buat diri saya yang lemah jua. Saya ucapkan selamat tahun baru hijrah. Moga ia menjadi titik perubahan bermakna buat kita semua, insyaAllah.

Salam Maal Hijrah...menuju redha Allah.

Tuesday, November 22, 2011

SEA GAMES : MALAYSIA JUARA BOLASEPAK ASIA TENGGARA



KUALA LUMPUR, 21 Nov - Malaysia memperoleh emas dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.
Dengan kemenangan hari ini, Malaysia mengekalkan emas kali kedua berturut-turut.
Pasukan negara mengatasi Indonesia menerusi tendangan penalti selepas seri 1-1 pada masa tambahan permainan.
Malaysia menyudahkan empat gol lawan tiga menerusi penalti untuk menang 5-4.
Terdahulu Malaysia menyamakan kedudukan menerusi tandukan Asrarudin Putra pada minit ke-35.
Indonesia mendahului 1-0 menerusi tandukan Gunawan hasil sepakan sudut pada minit kelima.
Dengan kejayaan ini Malaysia telah mengumpulkan 59 emas Sukan SEA, kurang satu untuk mencapai sasaran kutipan pingat

Friday, November 18, 2011

PELAJAR BULI WAJAR DIBUANG - SEBAGAI PERINGATAN KEPADA PELAJAR-PELAJAR YANG MAHU MEMBULI..!


Pelajar Membuli Wajar Dibuang

FRIDAY, MARCH 18, 2011

semalam (17 Mac 20110), akhbar ini telah melaporkan kira-kira 20 ibu bapa pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Kubang Pasu, Kedah, yang dikenakan tindakan buang sekolah melahirkan rasa tidak puas hati. Kononnya mereka tidak dibawa berbincang sebelum tindakan berkenaan diambil ke atas anak mereka.

Menurut salah seorang ibu bapa kepada pelajar sekolah yang dibuang, selepas dibuang sekolah emosi anak-anak mereka terganggu dan bimbang pelajaran mereka terjejas.

Sebagai seorang bapa, saya menyokong penuh tindakan yang diambil oleh pihak sekolah berkenaan. Tindakan yang diambil oleh pihak sekolah bukanlah dibuat dengan sewenang-wenangnya. Mereka dikenakan tindakan tersebut kerana didapati telah membuli dua pelajar tingkatan empat di sekolah tersebut.

Kenapa mereka risaukan emosi anak mereka terganggu? Bagaimana dengan emosi pelajar yang menjadi mangsa buli serta emosi ibu bapa mangsa buli berkenaan? 

Tidakkah emosi mereka lebih teruk terganggu? Bayangkan seramai 20 pelajar membuli mereka dan sudah berapa lama perkara ini terjadi tidaklah kita ketahui.

Bayangkan betapa terjejasnya emosi pelajar berkenaan setiap kali melangkah ke sekolah yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk mereka, bukan sahaja selamat untuk belajar tetapi juga selamat untuk segala aktiviti seharian. Ini kerana asrama sekolah adalah rumah kedua bagi pelajar yang menuntut di sekolah berasrama penuh.

Lupakah kita apa yang berlaku kepada Allahyarham Adik Muhammad Farid Ibrahim pada tahun 2004 yang meninggal dunia akibat dipukul dan dipijak oleh lapan pelajar senior Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor (SMADKPM) Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan?

Jika kejadian tersebut telah berlaku kira-kira tujuh tahun yang lalu dan kita semua telah melupainya, maka lupakah kita kejadian yang berlaku pada tahun lepas di mana seorang pelajar Maktab Tentera DiRaja (MTD) mati dipercayai dibuli oleh pelajar senior?

Perilaku buli adalah kesalahan jenayah yang serius. Sebarang tindakan tegas yang diambil oleh pihak sekolah bagi menangani masalah ini perlu disokong oleh semua pihak. Saya amat berharap agar pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan 

Kementerian Pelajaran turut tidak bertolak ansur dalam hal-hal sebegini.
Ibu bapa para pembuli boleh menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka kepada pihak media. Namun kesalahan yang dilakukan oleh anak mereka adalah amat serius dan seharusnya mendapat hukuman yang setimpal 

KEPUTUSAN UPSR 2011 BOLEH DISEMAK MELALUI TELEFON MUDAH ALIH




Keputusan UPSR 2011 Boleh Disemak melalui mySMS 15888 Keputusan UPSR 2011 boleh disemak melalui mySMS 15888 bermula jam 10.00 pagi 17 November 2011 (Khamis). Format Penghantaran :  Taipkan UPSR    Angka Giliran   SMS ke 15888.


Di SINI ada cerita tentang perasaan seorang murid SK Gunong. Klik untuk mengikuti ceritanya.

Wednesday, November 16, 2011

KEPUTUSAN UPSR 2011 ESOK


TARIKH :  17.11.2011
TEMPAT :  DI SEKOLAH MASING-MASING.
MASA :  + - JAM 10.00 PAGI.





BAYAR SAMAN TRAFIK KEPADA TRICUBES


Syarikat yang terbabit dengan projek e-mel 1Malaysia, Tricubes Bhd menerima surat anugerah pada Selasa lalu dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melantiknya sebagai ejen kutipan saman trafik.

Menurut Bernama, pengumuman itu dibuat oleh Tricubes kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam pengumuman itu, syarikat berkenaan, berkata bahawa kutipan saman trafik akan dibuat melalui Mesin Juruwang (ATM) dan pertanyaan mengenai saman trafik pula melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Tricubes pernah dilantik oleh kerajaan persekutuan untuk mengendalikan projek yang dikenali sebagai projek e-mel 1Malaysia.

Bagaimanapun, selepas dibidas hebat oleh para pengkritik, projek itu ditukar nama kepada perkhidmatan MyEmail.

Idea di sebalik projek berkenaan adalah untuk membekalkan kepada semua rakyat Malaysia dengan akaun e-mel yang selamat untuk urusan surat-menyurat dan urus niaga kewangan dengan agensi-agensi kerajaan.

Hujah kerajaan adalah kaedah ini akan menjimatkan dana awam kerana setiap urusan surat-menyurat boleh dikenakan bayaran sehingga RM1.

Projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 19 April lalu itu sepatutnya bernilai RM50 juta tetapi perdana menteri kemudiannya menjelaskan bahawa inisiatif itu semata-mata dibiayai pihak swasta.

Susulan itu, difahamkan bahawa Tricubes akan mendapat potongan RM0.50 bagi  setiap e-mel yang menggunakan perkhidmatan itu.

SUMBER : Utusan Malaysia Online

Tuesday, November 15, 2011

LESEN MEMANDU IKUT TARIKH LAHIR DIPERKENALKAN




PUTRAJAYA, 15 Nov – Mulai Isnin ini, orang ramai boleh mula memperbaharui lesen memandu mereka mengikut tarikh lahir, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata melalui inisiatif itu, tarikh tamat tempoh lesen memandu adalah sama dengan tarikh lahir seseorang pemegang lesen.
“Inisiatif itu juga dibuat bagi memudahkan orang ramai mengingati tarikh memperbaharui lesen memandu selain mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif,” katanya kepada pemberita.
Dipetik Bernama Online, Kong berkata diharapkan selepas ini, tidak timbul lagi isu lupa untuk memperbaharui lesen memandu terutamanya apabila pemandu terbabit dalam kemalangan.
Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, terdapat 2.2 juta daripada 11.8 juta pemegang lesen tidak aktif atau tidak memperbaharui lesen memandu mereka.
Beliau berkata kerajaan akan menanggung fi lesen tempoh lanjutan bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya di antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir adalah di antara 12 hingga 18 bulan (termasuk tempoh lanjutan).
Bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya di antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir adalah di antara 19 hingga 24 bulan (termasuk tempoh lanjutan), mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua dokumentasi mengenai Sistem Penguatkuasaan Automasi (AES) akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Katanya pemasangan sistem dijangka dimulakan secara berperingkat pertengahan tahun depan.
“Lebih 800 lokasi risiko kemalangan sudah dikenal pasti untuk dipasang dengan sistem itu bagi mengesan sebarang kesalahan lalu  lintas yang dilakukan pengguna,” katanya.
AES, yang banyak digunakan di negara maju, pada asasnya adalah satu sistem di mana kamera dipasang di kawasan sering berlaku kemalangan bagi mengesan pemanduan laju, dan di persimpangan lampu isyarat bagi mengesan mereka yang melanggar lampu merah.

Sunday, November 13, 2011

PENILAIAN PRESTASI GURU

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, penilaian prestasi ke atas seseorang pegawai termasuk guru dibuat tidak hanya berdasarkan penghasilan kerja yang telah ditunjukkan oleh pegawai atau guru itu sahaja. Penilaian prestasi hendaklah dibuat dengan merangkumi beberapa faktor seperti berikut:

i)      Penghasilan kerja berbanding dengan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan, yang memberi markah sebanyak 50%. Penghasilan kerja tersebut dinilai dari segi kuantiti kerja, kualiti kerja, ketepatan masa dan keberkesanan hasil kerja.  Walau bagaimanapun, bagi seorang guru yang mengajar di kelas dan di bilik kuliah, penghasilan kerja mereka boleh diukur dengan menggunakan Buku Rekod mengajar masing-masing sebagai SKT yang akan dijadikan asas penilaian prestasi oleh pegawai penilai mereka;

ii)    Kualiti peribadi yang memberi markah 25%, iaitu dinilai dari segi kebolehan mengelola, disiplin, proaktif dan inovatif serta jalinan hubungan dan kerjasama yang dipamerkan oleh pegawai;

iii)   Pengetahuan dan kemahiran pegawai yang memberi markah 20%; dan

iv)   Kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi yang memberi markah 5%.
Pengetua atau Guru Besar sebagai Pegawai Penilai juga bertanggungjawab menentukan penilaian prestasi dilaksanakan secara teratur, objektif, adil dan telus berdasarkan pencapaian kerja guru sepanjang tahun yang dinilai dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor peribadi dan penilaian tahun-tahun sebelumnya.
Sehubungan itu bagi memastikan penilaian prestasi guru dibuat secara adil dan telus, semasa penyediaan penilaian prestasi, Pengetua atau Guru Besar sebagai Pegawai Penilai hendaklah berbincang dengan guru yang berkenaan mengenai pencapaian kerja mereka dan memaklumkan prestasi mereka secara keseluruhannya supaya guru berkenaan boleh memperbaiki prestasi kerja mereka pada masa akan datang. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Saturday, November 12, 2011

BEKERJA 9 JAM MULAI JANUARI 2012 DI 4 BUAH SEKOLAH PERINTIS.

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

ALOR SETAR 11 Nov. - Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan ...Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.

Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.

"NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

"Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

"Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.

"Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya.

Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut

Friday, November 11, 2011

BANTUAN RM100 MURID-MURID SEKOLAH MULA DIAGIH

KUALA LANGAT 10 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah mula disalurkan hari ini melalui akaun sekolah masing-masing.
Katanya, bantuan itu akan disalurkan kepada pelajar tahun satu hingga tahun lima dan dari tingkatan satu hingga empat bagi sesi persekolahan 2011.
Bagi pelajar tahun satu dan tingkatan satu sesi persekolahan 2012, pembayaran akan dibuat pada Januari tahun depan.
Sementara itu, pelajar di Sabah dan Sarawak akan menerima bantuan itu dalam tempoh seminggu.
‘‘Wang itu akan dimasukkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pihak sekolah dan bagi yang tidak mempunyai akaun BSN, mereka perlu membuka akaun sementara.
‘‘Ia akan diagihkan kepada 5,532,650 pelajar atau ibu bapa mereka yang terdiri daripada 5,061,574 pelajar sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan, sekolah agama rakyat dan negeri (313,373), sekolah persendirian (125,465) dan Maktab Sains Mara dan Maktab Tentera Diraja (32,238),” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama lebih 1,000 orang terdiri daripada pensyarah dan pelajar matrikulasi seluruh negara di Kolej Matrikulasi Selangor, Jugra di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, wang bantuan tersebut diberikan tanpa mengira status pendapatan keluarga pelajar terlibat.
Katanya, ia diharap dapat meringankan beban keluarga terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi membuat persediaan bagi sesi persekolahan tahun depan.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan sedang mengkaji untuk menambah jumlah elaun bulanan pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan, perkara itu sedang dibincangkan agar jumlah elaun RM250 yang diberikan sekarang dapat ditambah sedikit.
‘‘Kita tahu ada pelajar pra universiti lain yang mendapat elaun sehingga RM400. Jadi berdasarkan permintaan pelajar dan keadaan semasa sekarang kita akan kaji untuk menambah elaun pelajar matrikulasi.
‘‘Jika tidak dapat sama banyak (RM400) pun kita akan cuba tambah jumlahnya sedikit,” katanya.

Thursday, November 10, 2011

KEPUTUSAN UPSR 2011


Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2011akan diumumkan di seluruh negara pada hari Khamis 17 November 2011 ini. Mereka yang menduduki UPSR 2011 boleh menyemak keputusan daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10:00 pagi hari tersebut.
Seramai 497,691 pelajar berbanding tahun lepas 494,493 pelajar di seluruh negara telah mendaftar dan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Peperiksaan bertulis UPSR 2011 telah dijalankan pada 13 – 15 September 2011 yang lalu di 8,235 pusat peperiksaan dengan melibatkan seramai 48,560 petugas di seluruh negara.
Sementara itu Majlis Pengumuman Analisis Keputusan UPSR 2011 akan diadakan pada hari yang sama iaitu 17 November 2011 jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.
Calon-calon dengan keputusan UPSR 2011 yang cemerlang boleh cuba memohon memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kelas Rancangan Khas (KRK), Kelas Aliran Agama (KAA), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Asrama Harian atau Sekolah Agama Menengah (SAM) di bawah Jabatan Agama Negeri. Sila rujuk Permohonan Kemasukan Lepasan UPSR, PMR, SPM 2011 untuk maklumat lanjut.

BANTUAN KHAS PERSEKOLAHAN 2012

Monday, November 07, 2011

IBADAH KORBAN (SEMPENA AIDIL ADHA 2011)




SALAH satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Ibadah korban bermaksud menyembelih haiwan seperti kambing atau lembu sesudah solat sunat Aidiladha sehingga hari tasyrik iaitu hari ketiga sesudah 10 Zulhijah. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Ibadah Korban ini, anda boleh klik di SINI bagi mendapatkan huraian lengkap tentangnya.


Friday, November 04, 2011

PERUTUSAN AIDIL ADHA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdullilah kita dapat sekali lagi menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban dalam keadaan negara aman damai dan ekonomi yang terus berkembang sihat. Kejayaan ini dicapai walaupun berlatarbelakangkan keadaan global yang tidak menentu. Sesungguhnya ia dimungkinkan kerana umat Islam Malaysia sentiasa berpegang kepada pendekatan Wasatiyyah atau pertengahan yang progresif sifatnya.
Sesungguhnya umat Islam Malaysia perlu banyak bersyukur kerana menjadi warga sebuah negara yang dirahmati dengan pelbagai nikmat. Ingatlah Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang mafhumnya:
“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Kesyukuran menuntut kita umat Islam Malaysia untuk memanfaatkan sebaik-baiknya apa yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t bagi mencari kejayaan di dunia dan di akhirat. Janganlah sekali-kali kita bersifat kufur nikmat atau mengambil mudah tanggungjawab kita selaku hamba dan Khalifah-Nya di muka bumi. Umat Islam perlu memelihara diri mereka dari melakukan kerosakan yang boleh membawa kepada kelemahan, kehinaan dan akhirnya kemusnahan umat secara keseluruhan.
Hasil dari memanfaatkan segala potensi yang ada Malaysia telah mencapai kejayaan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Mengikut laporan Human Development Report 2010 terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia merupakan antara negara yang memiliki Indeks Pembangunan Manusia Tinggi dengan menduduki tangga 57 dari 169 negara yang tersenarai.
Malaysia kini berada di ambang baru lonjakan pembangunan negara, sepanjang hampir dua tahun yang lalu kerajaan telah meletakkan asas-asas konkrit di dalam bentuk dasar, inisiatif dan program baru bagi memulakan pusingan terakhir ke arah tercapainya wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Kini sudah tiba masanya untuk melaksanakan segala dasar, inisiatif dan program yang telah dirancang. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan segala apa yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi untuk kesejahteraan rakyat. Untuk itu iltizam, kerjasama dan pengorbanan semua pihak di pelbagai peringkat adalah amat penting.
Marilah kita, sempena hari yang baik ini berusaha meringankan penderitaan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik dengan bukan sahaja mengagihkan daging korban tetapi juga bersedekah mengikut kemampuan kita.
Sempena sambutan hari yang penuh berkat dan bermakna ini juga, marilah kita mengambil iktibar dari contoh keimanan dan pengorbanan yang telah dipamerkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Jika manifestasi keimanan dan kesanggupan berkorban tersebut berjaya diteladani umat Islam hari ini, maka kita akan berada pada landasan yang betul untuk muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai umat contoh. 
Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Aidiladha, selamat mengerjakan ibadat korban dan bagi yang sedang mengerjakan ibadat haji semoga selamat menyempurnakan segala tuntutan dan pulang ke tanah air dengan Haji Mabrur.
Dato’ Sri Mohd Najib
Sumber : www.1malaysia.com.my