Sunday, November 13, 2011

PENILAIAN PRESTASI GURU

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, penilaian prestasi ke atas seseorang pegawai termasuk guru dibuat tidak hanya berdasarkan penghasilan kerja yang telah ditunjukkan oleh pegawai atau guru itu sahaja. Penilaian prestasi hendaklah dibuat dengan merangkumi beberapa faktor seperti berikut:

i)      Penghasilan kerja berbanding dengan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan, yang memberi markah sebanyak 50%. Penghasilan kerja tersebut dinilai dari segi kuantiti kerja, kualiti kerja, ketepatan masa dan keberkesanan hasil kerja.  Walau bagaimanapun, bagi seorang guru yang mengajar di kelas dan di bilik kuliah, penghasilan kerja mereka boleh diukur dengan menggunakan Buku Rekod mengajar masing-masing sebagai SKT yang akan dijadikan asas penilaian prestasi oleh pegawai penilai mereka;

ii)    Kualiti peribadi yang memberi markah 25%, iaitu dinilai dari segi kebolehan mengelola, disiplin, proaktif dan inovatif serta jalinan hubungan dan kerjasama yang dipamerkan oleh pegawai;

iii)   Pengetahuan dan kemahiran pegawai yang memberi markah 20%; dan

iv)   Kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi yang memberi markah 5%.
Pengetua atau Guru Besar sebagai Pegawai Penilai juga bertanggungjawab menentukan penilaian prestasi dilaksanakan secara teratur, objektif, adil dan telus berdasarkan pencapaian kerja guru sepanjang tahun yang dinilai dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor peribadi dan penilaian tahun-tahun sebelumnya.
Sehubungan itu bagi memastikan penilaian prestasi guru dibuat secara adil dan telus, semasa penyediaan penilaian prestasi, Pengetua atau Guru Besar sebagai Pegawai Penilai hendaklah berbincang dengan guru yang berkenaan mengenai pencapaian kerja mereka dan memaklumkan prestasi mereka secara keseluruhannya supaya guru berkenaan boleh memperbaiki prestasi kerja mereka pada masa akan datang. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

No comments: