KUALA LANGAT 10 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah mula disalurkan hari ini melalui akaun sekolah masing-masing.
Katanya, bantuan itu akan disalurkan kepada pelajar tahun satu hingga tahun lima dan dari tingkatan satu hingga empat bagi sesi persekolahan 2011.
Bagi pelajar tahun satu dan tingkatan satu sesi persekolahan 2012, pembayaran akan dibuat pada Januari tahun depan.
Sementara itu, pelajar di Sabah dan Sarawak akan menerima bantuan itu dalam tempoh seminggu.
‘‘Wang itu akan dimasukkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pihak sekolah dan bagi yang tidak mempunyai akaun BSN, mereka perlu membuka akaun sementara.
‘‘Ia akan diagihkan kepada 5,532,650 pelajar atau ibu bapa mereka yang terdiri daripada 5,061,574 pelajar sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan, sekolah agama rakyat dan negeri (313,373), sekolah persendirian (125,465) dan Maktab Sains Mara dan Maktab Tentera Diraja (32,238),” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama lebih 1,000 orang terdiri daripada pensyarah dan pelajar matrikulasi seluruh negara di Kolej Matrikulasi Selangor, Jugra di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, wang bantuan tersebut diberikan tanpa mengira status pendapatan keluarga pelajar terlibat.
Katanya, ia diharap dapat meringankan beban keluarga terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi membuat persediaan bagi sesi persekolahan tahun depan.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan sedang mengkaji untuk menambah jumlah elaun bulanan pelajar matrikulasi di seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan, perkara itu sedang dibincangkan agar jumlah elaun RM250 yang diberikan sekarang dapat ditambah sedikit.
‘‘Kita tahu ada pelajar pra universiti lain yang mendapat elaun sehingga RM400. Jadi berdasarkan permintaan pelajar dan keadaan semasa sekarang kita akan kaji untuk menambah elaun pelajar matrikulasi.
‘‘Jika tidak dapat sama banyak (RM400) pun kita akan cuba tambah jumlahnya sedikit,” katanya.
No comments:
Post a Comment