Friday, November 04, 2011

PERUTUSAN AIDIL ADHA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdullilah kita dapat sekali lagi menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban dalam keadaan negara aman damai dan ekonomi yang terus berkembang sihat. Kejayaan ini dicapai walaupun berlatarbelakangkan keadaan global yang tidak menentu. Sesungguhnya ia dimungkinkan kerana umat Islam Malaysia sentiasa berpegang kepada pendekatan Wasatiyyah atau pertengahan yang progresif sifatnya.
Sesungguhnya umat Islam Malaysia perlu banyak bersyukur kerana menjadi warga sebuah negara yang dirahmati dengan pelbagai nikmat. Ingatlah Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ibrahim Ayat 7 yang mafhumnya:
“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Kesyukuran menuntut kita umat Islam Malaysia untuk memanfaatkan sebaik-baiknya apa yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t bagi mencari kejayaan di dunia dan di akhirat. Janganlah sekali-kali kita bersifat kufur nikmat atau mengambil mudah tanggungjawab kita selaku hamba dan Khalifah-Nya di muka bumi. Umat Islam perlu memelihara diri mereka dari melakukan kerosakan yang boleh membawa kepada kelemahan, kehinaan dan akhirnya kemusnahan umat secara keseluruhan.
Hasil dari memanfaatkan segala potensi yang ada Malaysia telah mencapai kejayaan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Mengikut laporan Human Development Report 2010 terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia merupakan antara negara yang memiliki Indeks Pembangunan Manusia Tinggi dengan menduduki tangga 57 dari 169 negara yang tersenarai.
Malaysia kini berada di ambang baru lonjakan pembangunan negara, sepanjang hampir dua tahun yang lalu kerajaan telah meletakkan asas-asas konkrit di dalam bentuk dasar, inisiatif dan program baru bagi memulakan pusingan terakhir ke arah tercapainya wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Kini sudah tiba masanya untuk melaksanakan segala dasar, inisiatif dan program yang telah dirancang. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan segala apa yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi untuk kesejahteraan rakyat. Untuk itu iltizam, kerjasama dan pengorbanan semua pihak di pelbagai peringkat adalah amat penting.
Marilah kita, sempena hari yang baik ini berusaha meringankan penderitaan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik dengan bukan sahaja mengagihkan daging korban tetapi juga bersedekah mengikut kemampuan kita.
Sempena sambutan hari yang penuh berkat dan bermakna ini juga, marilah kita mengambil iktibar dari contoh keimanan dan pengorbanan yang telah dipamerkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Jika manifestasi keimanan dan kesanggupan berkorban tersebut berjaya diteladani umat Islam hari ini, maka kita akan berada pada landasan yang betul untuk muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai umat contoh. 
Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Aidiladha, selamat mengerjakan ibadat korban dan bagi yang sedang mengerjakan ibadat haji semoga selamat menyempurnakan segala tuntutan dan pulang ke tanah air dengan Haji Mabrur.
Dato’ Sri Mohd Najib
Sumber : www.1malaysia.com.my

No comments: