Sunday, August 29, 2010

RAMADHAN OH RAMADHAN

PANTAS sungguh Ramadan beredar. Kini hampir memasuki fasa ketiga dan terakhir, yakni pembebasan dari api neraka. Tahniah buat mereka yang dapat merangkul penuh nikmat hari-hari yang berlalu itu.
Ramadan dan al-Quran bagai terpisah tiada. Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni menulis: "Rasulullah mempelajari al-Quran bersama Jibril pada bulan Ramadan. Baginda mendengarkan bacaan al-Quran, menghayati, membaca, melaksanakan kandungannya, melapangkan hatinya dan menggali cinta dalam muitara hikmah al-Quran."
Seorang teman bertanya, melewati 15 hari puasa, sudah berapa kali khatam Quran? Terkedu juga dibuatnya!
Ramadan juga sepatutnya mendekatkan kita dengan golongan fakir miskin, mereka yang kesempitan dan memerlukan bantuan segera. Hati dapat dijernih-lunakkan apabila mendampingi dan menyantuni saudara seagama yang tidak bernasib baik ini. Didiklah diri dengan bersedekah di bulan yang amalan sunat menyamai tuntutan wajib.
Insya-Allah segala ketamakan dan kerakusan yang memenjara diri perlahan-lahan reda. Di tengah gejolak budaya hidup materialisme menggila ini, Ramadan bisa mengasuh jiwa agar bersederhana dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaan. Ayuh ... segeralah menyumbang, sekurang-kurangnya menjamu makan kepada mereka yang berpuasa.
RAMADAN makin menipis. Hanya tinggal berbaki 10 hari. Bagaimanapun, inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Di dalamnya ada malam agung yang paling istimewa; beribadat pada malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan atau 83 tahun, satu tempoh melebihi usia kebanyakan manusia zaman ini.
Berusahalah kita mencari malam penuh keberkatan itu. Ya, masih belum terlewat ...
Seorang Tuan Guru dalam perutusan akhir Ramadan kepada sebuah akhbar mengingatkan: "Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak. Rasulullah pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid.
"Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf. Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. ... saya nasihatkan semua muslimin dan muslimat mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, sekolah dan rumah."

No comments: