Monday, August 23, 2010

SEDEKAH DALAM IBADAH RAMADHAN


Ramadan terbukti bulan keberkatan yang melimpah ruah. Dorongan untuk melakukan kebaikan begitu mudah diikuti. Masjid dan surau penuh bercahaya. Iktikaf dilazimi.  Kemanisan beribadah benar-benar dikecapi. Lidah basah dengan zikir. Al-Quran dibaca penuh penghayatan dan ditekuni maknanya. Ramai menempah kitab terjemahan al-Quran sejak Syaaban lagi.

Seorang sahabat dari Johor mengirim SMS: "Akhi, mahu kita berlumba khatam Quran?" Saya tahu dia sekadar mengingatkan suatu amalan mulia.

"Apa azam anta?" tanya saya.
"3 kali (khatam)," balasnya.

Jangan lupa al-Kahfi
Sebelum ini pun, hampir setiap subuh Jumaat, SMSnya tidak pernah absen: "Haji, jangan lupa Al-Kahfi."

Ramadan turut memancarkan keunggulan bersedekah. Berlumba-lumba masyarakat menyumbang untuk juadah berbuka, terutama di masjid.

Seorang rakan memberitahu senarai penyumbang berbuka sepanjang Ramadan di masjid dekat rumahnya sudah penuh sejak hari pertama puasa lagi.  Apabila saya minta rakan sekerja bertanyakan sebuah masjid dekat pusat bandaraya Alor Star yang menjadi tumpuan ramai berbaris panjang mendapat bubur lambuk, katanya, "tiada peluang kita menyumbang sebab sudah ada penaja sepanjang Ramadan".

Maksud hadis Nabi: "Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, maka baginya pahala orang berpuasa."

Dalam pada itu, solat tarawih masjid-masjid di Kedah khabarnya meriah sekali. Fenomena ini nampak terserlah akhir-akhir ini. "Macam solat Jumaat, siap kena ada sukarelawan bagi memudahkan parking," tambah rakan tadi.  "Kita berdoa moga dapat istiqamah sampai malam Aidilfitri nanti. Tak sedap juga kalau hanya bersemangat di awal puasa sahaja," ujarnya lagi.

Sememangnya gandaan pahala sedekah dan menderma di hari-hari biasa - apatah lagi di bulan Ramadan - dipamerkan dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w.

Antaranya: "Sesungguhnya Allah Taala menggandakan di kalangan kamu (pahala derma) sebiji kurma atau sesuap makanan, sebagaimana digandakan di kalangan kamu ternakan anak kuda atau anak unta, sehingga derma itu menjadi sebesar gunung Uhud." Dan dalam hadis riwayat Ahmad, maksudnya: "Tidak akan berkurangan duit orang yang bersedekah."

Di sini saya nukilkan kembali kisah tentang keajaiban sedekah, yang dipetik dari buku Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya, terbitan PTS. Moga-moga kita beroleh manfaat bersama.

Kisah teladan cukup bermanfaat

Sebaik pulang dari rumah Nabi, Ali bin Abu Talib menemui isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: "Wahai wanita mulia, adakah kamu mempunyai manakan untuk suamimu?"

Fatimah menjawab: "Demi Allah, saya tidak mempunyai makana sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain." Ali berkata: "Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan."

Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan. Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: "Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis. Ali pun bertanya: "Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?"

"Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa," kata Fatimah. Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."

Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu." Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: "Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini."

Ali berkata: "Saya tidak mempunyai wang." "Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa," kata Badwi itu. "Berapa harganya?" tanya Ali. "Tidak mahal, 100 dirham sahaja."

"Baiklah, saya beli," kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta. Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: "Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?" "Ya," jawab Ali.

"Berapa?" Tanya Badwi itu. "300 dirham," jawab Ali.
"Baiklah saya beli," kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: "Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?" "Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 10 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham," jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi tersenyum dan berkata: "Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?"

"Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah," kata Ali. "Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi menjelaskan: "Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham. Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."

II. TERJEMAHAN AL-QURAN TERBAIK DAN PENJAGAAN KESIHATAN

Terjemahan al-Quran yang dekat di hati saya sehingga kini masih Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Darul Fikir yang diusahakan oleh Jakim. Versi jawinya, memang tebal, lebih 1,500 halaman, tetapi cukup memikat dan mengesankan sekali.

Saya rasa ia mungkin terjemahan terbaik dalam bahasa Melayu. Kitab besar ini diusahakan (diterjemah serta diberi penjelasan) oleh Sheikh Abdullah bin Muhammad Basmeih, yang dimulakan oleh Ustaz Faisal Othman, dan disemak dan disahkan oleh Dato' Muhammad Npor Ibrahim, bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan. Cetakan pertamanya pada tahun 1968.

(Saya kira alangkah elok jika pihak penerbit dapat mengemaskinikan bentuk kitab ini, terutama dalam edisi rumi, yang lebih mesra pembaca. Untuk edisi jawi, rasanya sudah cantik. Kitab ini sepatutnya dimiliki oleh setiap rumah Muslim).

Bagaimanapun, untuk menghadiahkan kepada rakan-rakan sempena Ramadan saya berhasrat mencari yang lebih nipis dan ringan. Anak saya menunjukkan kitab terjemahan yang nampak menarik, terbitan Al-Hidayah House of Quran.

Saya hanya mampu menyediakan 10 kitab untuk disedekahkan, berbanding rakan lain yang sudah bersedia dengan ratusan bahkan ribuan kitab serupa untuk dijariahkan sempena Ramadhan.  Semoga dikira juga sebagai suatu kebajikan.  Amin.

No comments: